Sekolah Kebangsaan Meru 2

Sekolah Kebangsaan Meru 2 telah siap dibina pada awal tahun 2003 namun hanya memulakan sesi persekolahan pada tahun 2004. Kedudukannya adalah kira-kira 10 minit perjalanan daripada Pekan Meru.

Sejarah tertubuhnya SK Meru 2 ini disebabkan oleh kepadatan penduduk Meru sehingga sekolah yang sedia ada (SK Sg. Binjai) tidak dapar menampung murid yang terlalu ramai. Keluasan kawasan sekolah ini merangkumi 2.3 hektar dan dikelilingi ladang kelapa sawit serta perkampungan Melayu.

Pada awal pembukaan sekolah ini, bilangan murid adalah seramai 525 orang murid yang kesemuanya terdiri daripada pelajar Melayu. Seramai 30 tenaga pengajar berkhidmat di sekolah ini di bawah pentadbiran Guru Besar, Tn. Hj. Shamsuddin bin Mohd Noor.

Pertengahan 2005, kelas Pendidikan Pemulihan Khas Integrasi telah diwujudkan. Seramai 4 orang guru telah menerajui 4 buah kelas.

Pada tahun 2008, kelas Prasekolah telah ditawarkan untuk murid-murid yang berumur 6 tahun. 2 kelas telah dibuka, dalam 1 kelas mempunyai 25 orang beserta seorang guru dan seorang pembantu.


WAWASAN

Berhasrat untuk mendidik dan melahirkan warga SK Meru (2) menjadi insan yang berilmu, berdisiplin, berjasa serta mengamalkan akhlak terpuji sepanjang hayat.

VISI

Sekolah Kebangsaan Meru 2, Sepuluh Terbaik Dalam Daerah Menjelang 2012.

MISI

Semua warga sekolah perlu berusaha ke arah:

- Memastikan kecemerlangan akademik

- Melahirkan pelajar berakhlak mulia

- Memastikan penglibatan pelajar menyeluruh dari segi kurikulum dan kokurikulum

- Memastikan keadaan sekolah bersih, ceria dan selamat

- Mengeratkan hubungan warga sekolah dengan masyarakat

- Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif

- Mengamalkan budaya kerja ICCT (Ikhlas, Cepat, Cekap, Teliti)

Monday, April 11, 2011

Pelancaran Bulan Disiplin




Pada 11 April 2011 telah diadakan Pelancaran Bulan Disiplin Sekolah bagi tahun 2011. Ini adalah aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Unit Disiplin dengan kerjasama Unit Bimbingan & Kaunseling serta Unit Keselamatan. Pelbagai program telah diatur sepanjang bulan ini, di antaranya ialah Ceramah Keselamatan Jalan Raya dan Demonstrasi Keselamatan Naik Turun Kenderaan, di mana ia adalah elemen di dalam Program Sekolah Selamat. Selain daripada itu, demonstrasi kebakaran juga akan diadakan sebagai salah satu aktiviti untuk melatih warga sekolah dalam menghadapi kemungkinan bencana kebakaran. Unit Disiplin juga akan mengadakan pemeriksaan terhadap pemakaian dan disiplin murid-murid. Diharapkan segala program yang telah dirancang akan berjaya dilaksanakan.

Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Klang



Pada 6 hingga 7 April 2011 telah diadakan Majlis Tilawah Al Quran peringkat Daerah Klang. Penyertaan SK Meru bagi Kategori Hafazan telah membawa kemenangan kepada Adik Mohd Zafriezal (Tahun 5 Cemerlang) dan Adik Siti Hawa (Tahun 5 Gemilang). Mereka akan mewakili Daerah Klang ke peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi. Sekalung tahniah diucapkan kepada mereka dan juga kepada Ustazah Siti Zalehar yang telah melatih mereka tanpa mengenal erti penat lelah. Diharapkan penyertaan mereka ke peringkat negeri nanti akan membawa kejayaan yang lebih cemerlang dan seterusnya mengharumkan lagi nama SK Meru 2. InsyaAllah.

Sunday, April 10, 2011

Logo Sekolah


Maksud Lambang

Buku
Membawa maksud bahawa sekolah adalah gedung ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang disampaikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

Lingkaran Berangkai
Kegiatan kokurikulum sebagai pelengkap pendidikan bersepadu dan berterusan.

Bulatan Bergerigi
Sains dan teknologi sebagai asas melahirkan pelajar yang berketrampilan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran di era globalisasi.

Komputer dan Lingkaran Telekomunikasi
Bermaksuh memupuk dan melahirkan pelajar celik IT.


Maksud Warna

Merah
Melambangkan keberanian, kegigihan dan rajin berusaha.

Biru
Melambangkan perpaduan dan keharmonian di kalangan warga sekolah.

Kuning
Warna di Raja dan warna rasmi bagi negeri Selangor Darul Ehsan.

Putih
Melambangkan kesucian, keikhlasan, kejujuran dan ketinggian akhlak serta budi pekerti.

Friday, April 1, 2011

Majlis Penutup Minggu PPDa 2011

Majlis penutup Minggu PPDa diacarakan oleh Puan Zuraini Zakaria

Hadiah untuk para pemenang

Pasukan Doktor Muda menyampaikan koir 'Kami Benci Dadah'

Majlis perasmian penutupan program oleh Puan Nita Sedek selaku PKHEM SK Meru 2

Pemenang Pertandingan Melukis Poster Tahap 2